Kanser kolorektal adalah kanser yang paling biasa dalam kalangan lelaki di Malaysia. Sementara lebih 80% kes melibatkan mereka yang berumur 50 tahun ke atas, kadar kanser ini semakin meningkat di kalangan lelaki yang lebih muda.
Lebih membimbangkan, kebanyakan kes kanser kolorektal dikesan sama ada di peringkat 3 atau peringkat 4.
“Malangnya, salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes ini adalah kurangnya kesedaran tentang penyakit itu,” kata Dr Luqman Mazlan, Perunding Pakar Bedah Kolorektal di Hospital Beacon.
Memahami penyakit yang boleh dirawat ini adalah langkah pertama untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Apakah itu Kanser Kolorektal?
Kanser kolorektal adalah kanser yang bermula di kolon atau rektum. Ia juga dikenali sebagai sama ada kanser kolon atau kanser rektum, bergantung kepada kawasan kanser mula terjadi.
Tanda dan Gejala Kanser kolorektal:
Tanda dan gejala biasa termasuk:
- Perubahan tabiat buang air besar secara berterusan, melebihi 2 minggu
- Pendarahan rektum atau kehadiran darah dalam najis.
- Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.
- Usus tersekat atau rasa seolah-olah usus tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.
- Ketidakselesaan perut yang berterusan.
Gejala ini biasanya tidak muncul pada peringkat awal. Malah, kebanyakan penghidap penyakit ini langsung tidak mengalami gejala pada peringkat awal.
Diagnosis Kanser Kolorektal
Walaupun ia bukanlah satu-satunya punca, polip prakanser dalam kolon atau rektum selalu menjadi punca kanser kolon atau rektum. Oleh sebab itu, pemeriksaan biasa, terutamanya selepas seseorang itu menginjak usia 45 tahun, adalah penting untuk mencegah dan mengenal pasti kanser pada peringkat awal.
Antara saringan yang tersedia adalah:
- Ujian najis
- Kolonoskopi
“Walaupun terdapat pilihan untuk saringan kanser kolorektal, kolonoskopi adalah kaedah saringan terbaik. Polip mudah dikesan dan dikeluarkan untuk biopsi,” kata Dr Luqman.
Dr Luqman juga menambah bahawa sebaik sahaja kanser disahkan melalui biopsi, imbasan CT akan dilakukan untuk menentukan peringkat kanser tersebut.
Menentukan Peringkat
Daripada imbasan CT, doktor dapat menentukan peringkat kanser yang dihidapi.
Seperti kanser lain, peringkat kanser kolorektal bergantung pada saiz tumor, dan sama ada kanser telah merebak ke nodus limfa dan/atau organ lain.
“Malangnya di Malaysia, tidak ada program saringan untuk meningkatkan kadar saringan. Lebih menyedihkan, kebanyakan kanser kolorektal di Malaysia dikesan pada peringkat 3 atau peringkat 4,” tambah Dr Luqman.
Rawatan
Menentukan peringkat kanser adalah penting dalam menentukan rawatan yang paling bersesuaian dan berkesan.
Antara rawatan untuk kanser ini termasuk:
- Rawatan endoskopik – prosedur bukan pembedahan di mana polip dikeluarkan semasa kolonoskopi.
- Pembedahan – Merupakan Rawatan utama. Di mana tisu kanser dikeluarkan melalui pembedahan terbuka atau pembedahan lubang kunci.
- Kemoterapi – Secara amnya, hanya diberikan untuk kes peringkat 3 dan peringkat 4. Ia diberikan selepas pembedahan sebagai terapi tambahan.
Kanser kolorektal adalah kanser yang boleh dirawat jika dikesan lebih awal. Dengan 98.6% kadar kelangsungan hidup 5 tahun untuk kanser peringkat 1, pemeriksaan biasa mampu menyelamatkan nyawa.
Tempah ujian kolonoskopi di Hospital Beacon sekarang, dan kesan kanser kolorektal sebelum terlambat!